Sunday, November 12, 2023

Demi Palestin, Usah Cepat Melatah

1. Peperangan dimenangkan dengan rancangan rapi dan pelaksanaannya yang tersusun. Ia tidak dimenangkan dengan emosi dan sentimen semata-mata.
Benar, emosi dan sentimen penting dalam memperjuangkan kebenaran:
Dengan emosi, kita terus didorong untuk berjuang. Dengan sentimen, hati-hati yang berbolak-balik mampu dibawa bersama menyertai perjuangan kita.
Namun sebaliknya, emosi dan sentimen yang tidak terkawal boleh menjadi fitnah kepada perjuangan.
2. Bukan satu rahsia lagi: orang bukan Melayu di Malaysia kebanyakannya tidak endah mengenai isu Palestin. Tidak kurang juga yang berpegang kepada pandangan bahawa orang Palestin turut bersalah dalam konflik ini.
Malah ada yang menyebelahi Zionis, mungkin kerana termakan dengan media arus perdana (mainstream media) seperti BBC, CNN, dll yang berat sebelah dalam meliputi konflik ini.
Buka saja ruangan komen mana-mana channel Youtube outlet berita yang banyak dilayari orang bukan Melayu - The Star, New Straits Times, dll - sudah tentu akan dijumpai komen-komen yang meminta Malaysia untuk neutral, “kedua-dua pihak bersalah”, dan sebagainya.
Malangnya, tidak kurang juga balasan daripada orang Melayu yang terbuai dengan emosi - membalas bukan dengan niat untuk memperjelas dan berhujah, tetapi mengugut dan mencaci. “Pindahlah ke Singapore kalau nak sangat sokong Zionis” antara sentimen yang pernah dijumpai di ruangan-ruangan ini.
Jujurnya, sebagai seorang penyokong Palestin, saya berempati dengan perasaan yang mendorong balasan beremosi seperti ini.
Siapa tidak sakit hati apabila rakyat Gaza yang tidak bersalah dibedil dan dibunuh beramai-ramai - tapi terus dipersalahkan sebagai pengganas?
Siapa tidak kecewa dengan golongan yang seolah-olah sengaja menutup mata dan telinga kepada kebenaran - dan terus memeluk tubuh walaupun beribu-ribu kanak-kanak dan wanita disembelih di depan mata mereka?
Tapi sedarlah juga bahawa jika kita cepat melatah, ia menjadi kelemahan dalam perjuangan demi Palestin - satu perjuangan yang memerlukan strategi dan visi jangka panjang.
3. Amerika kalah dalam Perang Vietnam pada tahun 1960-an bukan kerana kelemahan ketenteraan. Seperti Zionis yang bermaharajalela di Tanah Suci hari ini, Amerika dilengkapi dengan senjata tercanggih pada waktu itu serta kekuatan kewangan sebuah kuasa hegemoni dunia.
Namun Amerika tumpas akhirnya kerana sentimen rakyat sendiri yang menentang peperangan apabila melihat bilangan nyawa tentera sendiri yang terkorban dengan begitu ramainya, serta jenayah-jenayah perang yang dilakukan pihak sendiri ke atas rakyat Vietnam.
Medan perang fizikal adalah Vietnam, tetapi psikologi masyarakat Amerika adalah medan pertempuran utama. Begitulah juga keadaannya hari ini - Zionis Israel akan tumpas hanya jika Amerika menarik balik sokongan ketenteraan, kewangan dan politik daripadanya, selagimana Amerika masih berstatuskan kuasa hegemoni tunggal dunia hari ini.
Alhamdulillah, pada hari ini, semakin jelas bahawa sentimen pro-Palestin semakin kuat dalam kalangan masyarakat Amerika secara umumnya. Hanya golongan konservatif dan golongan elit terus berdegil kerana berada dalam saku lobi-lobi Zionis.
4. Perbuatan menzahirkan sokongan bagi Palestin bukan wayang semata-mata - apabila rakyat beramai-ramai menunjukkan sokongan terhadap sesuatu isu, ahli politik terpaksa akur dan mengambil kira sentimen tersebut demi kepentingan politik sendiri. Bukanlah satu kebetulan bahawa negara-negara yang pemimpin-pemimpinnya paling lantang bersuara menyokong Palestin di persada dunia merupakan negara-negara yang rakyatnya menzahirkan sokongan paling padu bagi Palestin - Ireland, Indonesia, Turki, Iran, dan ya, Malaysia sendiri.
Dengan ini, langkah bijak bagi kita warga Malaysia dalam perang saraf ini adalah dengan meneruskan momentum dan memperkembangkan sokongan bagi Palestin dalam kalangan masyarakat negara kita sendiri. Ingat, mana-mana parti atau koalasi parti yang memegang tampuk kerajaan akan lebih berani bertindak di peringkat antarabangsa jika ada sokongan rakyat.
Orang Melayu usah memperdaya diri dengan idea bahawa sokongan Melayu sahaja sudah mencukupi bagi mendorong kudrat politik (political will) pemimpin Malaysia supaya terus lantang bersuara demi Palestin. Orang Melayu perlu ingat bahawa 40% daripada populasi negara ini bukan Melayu - dan jika mereka bermati-matian tidak mahu menyokong Palestin, hal ini akan mempengaruhi kiraan politik pemimpin-pemimpin negara.
Alhamdulillah Malaysia telah dikurniakan setakat ini dengan pemimpin-pemimpin seperti DS Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir yang konsisten memperjuangkan isu Palestin dengan aktif dan sistematik di pentas dunia. Namun kita tidak boleh leka dan menganggap bahawa situasi ini akan berterusan jika 40% daripada populasi Malaysia terus enggan memihak dengan Palestin.
Janji Allah itu benar - Dia akan menangkan Palestin, sama ada dengan pertolongan kita atau tidak; tetapi jika kita mahu negara kita terus berada di saf hadapan perjuangan ini, perlulah ada usaha untuk memperkembangan perjuangan Palestin untuk merangkumi semua lapisan masyarakat - Melayu mahupun bukan, Islam mahupun tidak.
Bukankah demonstrasi jalanan dan boikot ekonomi di negara ini akan lebih efektif jika Ah Kao dan Muthu berganding bahu dengan Ali dalam memperjuangkan Palestin?
5. Maka timbullah soalan seterusnya: apabila kita melihat demonstrasi pro-Palestin yang disertai beratus ribu orang bukan Islam di New York, Washington, London dll, terlintaskah di fikiran kenapa orang bukan Islam di Malaysia liat hendak sokong Palestin?
Dalam erti kata lain, pernahkah kita cuba mendalami psikologi orang bukan Melayu-Islam di negara ini? Atau adakah kita mengambil jalan mudah dan memukul sama rata dengan alasan bahawa “orang kafir memang tidak akan redha dengan kita”?
Soalan yang lebih direct: pernah tak terfikir bahawa mungkin liatnya orang bukan Melayu hendak sokong Palestin adalah akibat daripada politik kita sendiri yang selalu memburuk-burukkan mereka sebagai pendatang, komunis dan kafir harbi?
Pelikkah kalau, sebagai reaksi, mereka memegang kepada prejudis bahawa dalam apa-apa konflik yang melibatkan orang Islam, orang Islam secara automatik adalah pengganas? Pelikkah kita jikalau, dari perspektif orang bukan Melayu, perjuangan Palestin hanya dilihat sebagai perjuangan si Melayu menentang ‘si pendatang’ semata-mata?
Bukan saya nak maafkan orang bukan Melayu daripada kesalahan - kerana mereka juga malas. Malas membuat kajian, senang tertipu dengan media arus perdana, atau lagi teruknya hanyut dengan mengejar duit dan status sehingga tidak mampu melihat penderitaan manusia lain.
Dan pastinya, orang bukan Melayu juga ada prejudis terhadap Melayu dan Islam, sepertimana Melayu punyai prejudis terhadap bukan Melayu-Islam.
Inilah penyakit yang telah lama berhinggap di jiwa masyarakat Malaysia - dan isu Palestin telah mendedahkan isu ini dengan sejelas-jelasnya.
6. Maka apa langkah seterusnya? Sebagai orang Islam, jawapannya mudah: betul-betul praktikkanlah sirah Nabi mulia kita.
Apabila baginda berhadapan dengan mereka yang degil walaupun dihadapkan dengan kebenaran yang jelas dan nyata, apakah yang baginda lakukan?
Adakah baginda berputus asa dan memukul sama rata - melabel semua yang menentang sebagai kafir harbi yang tidak mungkin akan bersama perjuangan yang benar?
Jikalau begitu, mungkinkah Saidina Umar berubah daripada seorang yang lantang menentang Islam kepada salah seorang Khalifah Ar-Rasyidin? Mungkin hari ini, ada dalam kalangan rakan-rakan bukan Melayu kita seorang ‘Saidina Umar’ yang sedia berjuang bermati-matian demi Palestin, cuma belum diberi kesedaran oleh rakan-rakan Islamnya.
Saudara-saudara kita di Palestin memerlukan kita. Semangat dan usaha Malaysia selama ini patut dibanggakan - kita telah konsisten dengan doa, demonstrasi, perjuangan di sosmed dan boikot.
Namun rakan senegara bukan Islam juga satu amanat yang telah Allah berikan kepada kita. Siapa lagi yang akan memujuk mereka ke pihak yang benar jika bukan kita - jiran-jiran, rakan sekerja dan rakan senegara sendiri?
Memujuk dan berbincang dengan mereka yang bukan Islam bukanlah apologetik. Ia Sunnah Nabi.
Jadi marilah kita bermuhasabah dan berhujah dengan ikhlas. Dalam jihad propaganda ini, korbankanlah ego dan prejudis. Cuba fahami mengapa orang bukan Melayu mempunyai prejudis terhadap Islam dan Palestin. Buatlah kajian sendiri mengenai konflik Zionis-Palestin, sejarahnya dan statistiknya, supaya hujah kita diperkuatkan semasa berbincang dengan mereka yang belum yakin.
Jadikanlah ini sebagai sebahagian sumbangan kita kepada saudara Palestin yang menjadi barisan hadapan perjuangan kita di sana.

Dan bersabarlah. Bukankah Allah bersama mereka yang bersabar? 

No comments:

Post a Comment